Top Ad 728x90

,

Rita Rudaini tak setuju cerai



PETALING JAYA 30 April - Pelakon Rita Rudaini tidak bersetuju dengan permohonan suaminya, pemain bola sepak kebangsaan, Mohamad Aidil Zafuan Abd. Razak untuk bercerai secara baik di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini.

Peguam syarie, Datuk Mohd. Zaidi Md. Zain yang mewakili Rita memberitahu mahkamah bahawa pihaknya berpendapat perbincangan perlu diadakan menerusi Jawatankuasa Pendamai bagi mengetahui alasan permohonan cerai itu dibuat oleh Aidil selaku plaintif.

Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad yang mendengar kes itu seterusnya meminta penjelasan Aidil mengenai alasannya untuk menceraikan isterinya dan Aidil yang diwakili oleh peguam syarie, Ahmad Nazib Johari mendakwa, tiada keserasian dan kesefahaman antara dia dan Rita.

Aidil, 25, dan Rita, 36, masing-masing turut mengesahkan mereka tidak tinggal sebumbung sejak empat bulan lalu dan sepanjang tempoh itu tiada sebarang perbincangan dilakukan berhubung isu rumah tangga mereka.

Ahmad Nazib turut menyatakan, pihaknya juga bersetuju untuk mengadakan perbincangan menerusi Jawatankuasa Pendamai.

Sehubungan itu, Wan Mahyuddin memutuskan kedua-dua pihak diberi peluang berdamai dan memerintahkan satu Jawatankuasa Pendamai dilantik daripada setiap seorang daripada ahli keluarga Rita dan Aidil serta diketuai oleh pegawai Pejabat Agama yang akan dilantik oleh mahkamah.

Wan Mahyuddin seterusnya menetapkan sebutan semula kes pada 16 Mei depan bagi melantik jawatankuasa itu.

Dalam prosiding hari ini, Rita yang berjubah hitam dan bertudung hadir bersama ibu bapa serta ahli keluarganya manakala Aidil hadir bersama beberapa orang lelaki dipercayai ahli keluarga dan rakan-rakannya.

Sejurus selepas prosiding selesai, Aidil meluru keluar dan hanya memberikan komen ringkas: ''Kita tengok nanti, kalau ada jodoh, ada lah.''

Sementara itu, Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mohamad @ Mokhtar ketika diajukan oleh pemberita tentang alasannya tidak bersetuju dengan permohonan suaminya itu menyatakan alasan yang diberikan oleh Aidil remeh dan tidak masuk akal.

''Sebelum bercerai saya perlu tahu apa alasan kukuh dia ingin menceraikan saya. Sebelum dia keluar dari rumah kami empat bulan lalu, hubungan kami baik dan tiada pergaduhan berlaku.

''Saya sayangkan rumah tangga saya, anak-anak dan saya ingin perkahwinan ini kekal demi anak-anak kami,'' kata Rita yang popular menerusi filem Anak Mami dan Anak Mami Junior.

Namun, kata Rita, dia reda sekiranya hasil perbincangan kes itu berakhir dengan perceraian namun mahu memastikan hak selepas perceraian dipersetujui oleh kedua-dua pihak dengan baik.

Aidil memfailkan permohonan cerai pada 12 April lalu di bawah Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 dan saman berjaya diserahkan kepada Rita pada 17 April lalu.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Aidil dikatakan mengirim khidmat pesanan ringkas (SMS) menyatakan dia sudah memfailkan perceraian di mahkamah.

Kemelut rumah tangga pasangan terkenal itu tidak berkesudahan sejak pernikahan mereka secara rahsia di Songkhla, Thailand pada 28 Februari 2008 kerana tidak mendapat restu keluarga Aidil.

Pada 6 Mei 2010, Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman denda RM500 atau penjara 15 hari selepas kedua-dua mereka mengaku bersalah atas tuduhan bernikah tanpa kebenaran mahkamah.

Pada 22 April 2010 juga, mahkamah yang sama mengesahkan pernikahan pasangan itu di negara jiran adalah sah daripada hukum syarak.

Sepanjang perkahwinan itu, pasangan itu dikurniakan dua anak lelaki iaitu Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna, 1.

- UTUSAN


0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90